إفشاء
القواعد المذهبية والأقوال المرضية في إبطال النحلة الإغليسية التي ابتدعها الملحد
بالأقطار المغربية لأبي حامد محمد العربي بن أحمد بردلة (ت.1133هـ/1720م)
Ada kisah yang menarik disebalik penulisan manuskrip setebal 11
folio ini. Manuskrip yang dikarang oleh Shaykh Abu Hamid Muhammad Al-Arabi Bin
Ahmad Burdullah al-Fasi (w.1133h/1720m) pada tahun 1120 hijrah ini adalah bertujuan
untuk memperihalkan kepada masyarakat tentang kesalahan fatwa yang diberikan
oleh Ighlisi al-Murakushi kepada Sultan Alawi Moulay Ismail.
Ceritanya bermula apabila baginda ingin memperluaskan tanah
jajahan baginda, akan tetapi baginda kekurangan askar untuk berperang. Lalu baginda
meminta para ulama Ahli Al-Halli Wal Aqdi untuk memberikan fatwa kepada baginda
dalam isu ini, adakah boleh mengambil orang islam dari Afrika sebagai hamba lalu
dijadikan mereka sebagai askar perang.
Salah seorang ulama dari Marrakech bernama I’lili Al-Iglisi
(Ighlisi: zalim) memberikan fatwa bahawa boleh untuk melakukan perkara tersebut,
dan ini membuatkan sultan gembira. Manakala para fuqaha lain kesemuanya tidak
bersetuju, kerana orang islam pada hukumnya tidak boleh dijadikan hamba kerana
keislaman mereka.
Antara yang paling lantang bersuara ialah Shaykh Muhammad Al-Arabi
Bin Ahmad Burdullah (w.1133h/1720m), seorang qadi dan ulama Qurawiyyin di Fes
dengan menulis fatwa ini. Perkara ini membuatkan sultan murka lalu baginda menyuruh
para pengawalnya memanggil Shaykh Burdullah untuk datang mengadap.
Kemudian para pengawalnya ini pun pergi ke Jami Qurawwin untuk
memanggilnya. Pada ketika itu Shaykh Burdullah sedang mengajar di dalam sebuah majlis
ilmu, lalu beliau berkata kepada mereka: “jikalau sultan mempunyai hajat
denganku, maka dia harus datang ke sini kerana aku sedang mengajar”. Marah mendengar
kata-kata tersebut, maka para pengawal terus menarik Shaykh Burdullah keluar
dari Jami Qurawiyiin dan memukul beliau dengan teruk di pintu masjid sehinggalah
beliau jatuh pengsan.
Setibanya di istana, Sultan memerintahkan Shaykh Burdullah
dibawa mengadapnya lalu baginda merentap leher pakaian yang dipakai oleh Shaykh
Burdullah sehingga berbekas dilehernya. Kemudiannya, baginda meminta supaya
beliau menarik balik kata-katanya dan memberikan fatwa yang sebaliknya. Akan tetapi
Shaykh Burdullah tetap dengan fatwanya itu. Maka Sultan Moulay Ismail kemudiannya
memerintah supaya beliau dipenjarakan. Lalu dek kerana teruknya dibelasah oleh
para pengawal sultan, lalu Shaykh Burdullah jatuh sakit dan akhirnya wafat di
dalam penjara.
Rujukan:معلمة
المغرب: 4/1148-1149. نشر المثاني: 5/1969؛ التقاط الدرر: 2/320-321؛
*************************************************
Perlu diketahui, pada zaman pemerintahan Dinasti Alawi, para
sultan banyak membeli hamba yang berkulit hitam dari Afrika yang masih budak
dengan tujuan untuk dijadikan askar perang seperti yang dilakukan oleh
pemerintah Dinasti Ayyubiyun di Mesir. [Mereka membawa masuk hamba yang masih
budak dari Eropah Timur (Bosnia, Serbia dan Balkan). Mereka ini dinamakan ‘mamluk’
(hamba berkulit putih) pada istilah orang zaman tersebut, manakala ‘abdu’
memberi makna hamba hitam khusus dari Afrika.] Mereka dibawa masuk dan
diwajibkan menghafal al-Quran, mutun serta diajarkan ilmu-ilmu peperangan. Mereka
juga tidak dibenarkan untuk bergaul dengan masyarakat setempat. Merekalah antara
orang yang membina Qal’ah Ayyubiah di Mesir. Sehinggalah sampai ke suatu tahap
dimana golongan Mamalik ini berjaya menggulingkan kerajaan dan mengambil alih
tampuk pemerintahan seperti yang berlaku di Mesir.
Lalu di Maghribi ini, disebabkan terlalu banyak hamba (mereka
ini dinamakan Tuargiyun), dan keadaan politik pada waktu tersebut menjadikan
para umara yang akan dilantik untuk menjadi khalifah atau sultan itu adalah tergantung
kepada budi bicara para tuargi. Jika para tuargi ini suka kepada dia, maka dialah
yang akan menjadi sultan.
Lalu para umara ini saling berusaha untuk memuaskan hati tuargi
dengan harapan mereka akan dipilih menjadi sultan. Peka dengan situasi politik
ini, isteri kepada Moulay Ismail (setelah kematian suaminya, beliau memegang
tampuk pemerintahan di Maghribi), membuat mesyuarat dengan para umara untuk
menghilangkan kuasa puak tuargi ini sehinggalah sekarang. Disebabkan itu mereka
tidak menyukai baginda lalu membunuhnya dengan meletakkan racun didalam makanannya.
Jika
kita pergi melawat istana raja di Rabat, kita masih dapat lihat keturunan
tuargi ini. Berkulit hitam, berkopiah tajam berwarna merah dan berjalabah
putih. Sekarang mereka berkhidmat sebagai pembantu di dalam istana dan tidak
mempunyai apa-apa pengaruh lagi.
Istilah ‘Islamiyyun atau Baladiyyun atau Burdullah’ (disisi
ulama Maghrib) ialah satu istilah yang diberikan kepada orang yahudi magharibah
yang memeluk agama Islam. Sebagai contohnya seorang ulama besar Fes, Ahmad al-Mayyarah
(mayer) yang mana datukkan ialah yahudi asli yang tinggal di Maghribi dan
memeluk agama Islam.
Manakala istilah Islamiyyun atau Baladiyyun disisi ulama masyriq
pula membawa erti mereka yang menegakkan akidah Ahli Sunnah dengan cara
mutakallimin, seperti Asyairah, dan Muktazilah. Contohnya Imam Abul Hassan al-Asyari,
menulis kitab Maqalat Islamiyyin.
gambar hiasan
No comments:
Post a Comment